Bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan, wadah ilmu




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BERAKAS, Selasa, 7 Julai. - Sambutan Bulan Bahasa 2026 (65 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tema 'Bahasa Jiwa Bangsa' telah berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, yang turut disiarkan secara langsung melalui penstriman laman media sosial DBP. 


Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan.


Kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, selaku pengerusi yang antara lain menyatakan kita wajib memperkukuh kesedaran bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara, dan seterusnya menggariskan agenda pemartabatan ini tidak akan lengkap tanpa kita mengangkat aspek kedaulatan tulisan Jawi.


“Di Negara Brunei Darussalam, tulisan Jawi bukan sekadar seni aksara, tetapi ia adalah warisan tamadun bangsa yang sangat tinggi nilainya. Kepentingan ini telah pun digariskan dengan jelas melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bil. 21/1988 bertarikh 19 Julai 1988.


“Surat Keliling tersebut dengan tegas mengarahkan agar tulisan Jawi disandangkan bersama tulisan Rumi pada setiap papan tanda bangunan kerajaan dan badan perniagaan. Malah dititipkan syarat jelas: Tulisan Jawi hendaklah ditulis dua kali ganda besarnya daripada tulisan Rumi dan diletakkan di sebelah atas," jelas Awang Suip.


Oleh yang demikian tambahnya, papan tanda perniagaan di negara ini mestilah menampilkan tulisan Jawi dan terjemahan bahasa Melayu yang betul.


Papan tanda komersial bukan sekadar hiasan premis, tetapi ia adalah wajah dan identiti visual negara, apabila para pengusaha perniagaan mematuhi ketetapan ini, kita sebenarnya sedang bersama-sama mempamerkan sebuah ekosistem yang mendaulatkan jati diri Melayu Brunei kepada dunia luar, terangnya lagi.


Awang Suip juga mengongsikan bahawa sepanjang 65 tahun ini, DBP telah melakar banyak pencapaian, daripada penerbitan E-Kamus Bahasa Melayu Brunei sehinggalah transformasi digital melalui e-buku.


Agenda pemerkasaan ini terus diperhebat tahun ini melalui pelbagai program berimpak tinggi, antaranya Pelancaran Strategi Membaca Kebangsaan, Pesta Buku Brunei 2026 dan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana, ujarnya.


Majlis diteruskan dengan lafaz Ikrar Bulan Bahasa oleh seramai 16 orang penuntut dari Institut Kemuda, Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan, dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa yang diketuai oleh Setiausaha Pertama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Duta Bahasa 2018, Awang Haji Abdul Rashid bin Haji Damit.


Kemuncak acara ialah ucapan daripada tetamu kehormat, dan seterusnya pelancaran Sambutan Bulan Bahasa 2026 (65 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka) dan kegiatan-kegiatan di bawahnya.


Turut diselajurkan, tayangan klip video Bulan Bahasa dan pelancaran lima buah buku terbaharu terbitan DBP iaitu 'Kumpulan Sajak Tanda Hampir Kiamat', 'Lorek Bahasa Santun Bahasa', 'Ustazah Kecil: Doa dan Zikir Harian', 'Misi Lima Sahabat' dan 'Pateh Berbai'.


Selain itu, pengisian mega sambutan ini ialah Wacana Bahasa: 'Bahasa Jiwa Bangsa' yang berkonsepkan forum ilmu.


Wacana Bahasa disampaikan oleh dua orang panel pembicara iaitu Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, dan Elit Budaya, Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, dan moderator ialah Duta Bahasa 2015, Awang Mohammed Zefri Arif bin Mohammed Zain Ariff.


Pada majlis itu juga, tetamu kehormat berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil, hadiah dan cenderamata kepada panel Wacana Bahasa, penulis buku terbaharu terbitan DBP, pelajar cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi Peperiksaan Brunei Cambridge G.C.E Peringkat 'O' dan 'A', Tahun 2025, rakan korporat dan pembaca ikrar.


Objektif Sambutan Bulan Bahasa adalah untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Bahasa semasa Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan DBP pada Sabtu, 17 September 2011 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Di samping itu, sambutan ini juga bertujuan untuk memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan, wadah ilmu dan pembangunan negara, selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja, dalam upaya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat holistik tentang kepentingan memelihara dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang menjadi lambang identiti negara.


Seramai kira-kira 1,000 orang jemputan hadir terdiri daripada Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Tuan Yang Terutama Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2026; ketua-ketua jabatan; penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award); mantan Pengarah dan Timbalan Pengarah DBP; Duta-duta Bahasa; ketua-ketua persatuan; rakan korporat; pegawai-pegawai kanan kerajaan; para penulis; pencinta bahasa sastera dan budaya; wakil media serta pelayar dalam dan luar negara.


Close